Imam Mahdi
IMAM MAHDI MENURUT PANDANGAN AHLUS SUNNAH
Hadis-Hadis Berkaitan Al-Mahdi
Berkata guru kami Fadhilat al-Syaikh Abd al-Muhsin bin Hamad al-Abbad hafizahullah: Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Sama ada ia sahih lizaatih atau sahih lighayrih. Begitu juga sama ada ia hasan lizaatih atau hasan lighayrih dan demikian jugalah hadis-hadis dhaif yang apabila ia digabungkan akan menguatkan antara satu sama lain maka ia juga turut menjadi hujah di sisi para ulama. Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut.[1]
Berikut kami nyatakan beberapa hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang kemunculan al-Mahdi dan kekhalifahannya:
1- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
لاَ تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَمْلِكَ الْعَرَبَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي
Maksudnya: Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.
Riwayat al-Tirmizi (2230) Beliau berkata: Hasan Sahih.
2- Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
لَوْ لَمْ يَبْقَ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ يَوْمٌ لَطَوَّلَ اللَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ حَتَّى يَبْعَثَ فِيهِ رَجُلاً مِنِّي أَوْ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يُوَاطِئُ اسْمُهُ اسْمِي وَاسْمُ أَبِيهِ اسْمَ أَبِي يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ ظُلْمًا وَجَوْرًا
Maksudnya: Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman.
Riwayat Abu Dawud (4282)
3- Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنِّي أَجْلَى الْجَبْهَةِ أَقْنَى الأَنْفِ يَمْلأُ الأَرْضَ قِسْطًا وَعَدْلاً كَمَا مُلِئَتْ جَوْرًا وَظُلْمًا يَمْلِكُ سَبْعَ سِنِينَ
Maksudnya: Al-Mahdi dariku. Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun.
Riwayat Abu Dawud (4285)
4- Dari Ummu Salamah R.Anha berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنْ عِتْرَتِي مِنْ وَلَدِ فَاطِمَةَ
Maksudnya: Al-Mahdi dari itrah (keturunan) ku dari anak Fathimah.
Riwayat Abu Dawud (4284)
5- Dari Saidina Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
الْمَهْدِيُّ مِنَّا أَهْلَ الْبَيْتِ يُصْلِحُهُ اللَّهُ فِي لَيْلَةٍ
Maksudnya: Al-Mahdi dari kalangan kami – ahli bait – yang Allah perbaiki dirinya pada satu malam.
Riwayat Ibn Majah (4085)
Kata al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah: Iaitu Allah mengampunkannya dan memberi taufiq kepadanya serta Allah memberi ilham dan petunjuk kepadanya sedangkan dia tidak diberikan perkara tersebut sebelumnya. Lihat Al-Nihayah fil Fitan wal Malahim (1/29).
6- Diriwayatkan daripada Thauban R.A beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا رَأَيتُمْ الرَّايَاتَ السُّودِ قَدْ جَاءَتْ مِنْ قِبَلِ خُرَاسَانَ فَأتوهَا، فَإِنَّ فِيهَا خَلِيفَة الله المَهْدِي
Maksudnya: Apabila kalian melihat panji-panji hitam telah datang dari arah Khurasan maka datangilah ia. Kerana sesungguhnya padanya terdapat Khalifah Allah al-Mahdi.
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/502)
Demikianlah hadis-hadis di atas merupakan antara hadis-hadis sahih yang diriwayatkan berkaitan dengan al-Mahdi dan kemunculannya. Hadis-hadis tersebut telah disepakati dan dikuatkan kesahihannya oleh majoriti para ulama Islam. Pada keseluruhan hadis di atas, ia merupakan tanda penguat dari Rasulullah SAW bahawa al-Mahdi akan keluar di akhir zaman dan tidak ada syak lagi padanya. Beliau akan keluar dan menguasai keseluruhan bangsa Arab serta akan memenuhkan bumi dengan keadilan dan saksama. Kekuasaannya juga selama tempoh tujuh tahun sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis.
Kata Samahah al-Syaikh Abd Al-Aziz bin Abd Allah bin Baaz Rahimahullah: Isu al-Mahdi adalah perkara yang diketahui. Hadis-hadis yang berkaitan dengannya sangat banyak bahkan ia mutawatir yang saling menguatkan. Kebanyakan ulama telah menyatakan bahawa ia sampai ke tahap mutawatir dan mutawatirnya ia adalah mutawatir maknawi disebabkan banyaknya jalan periwayatannya. Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa individu yang dijanjikan ini akan benar-benar muncul pada akhir zaman kelak. Beliau adalah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anhum. Imam ini (al-Mahdi) adalah di antara rahmat Allah kepada umat yang keluar pada akhir zaman lalu dia akan menegakkan keadilan dan kebenaran serta menghalang kezaliman dan kejahatan. Allah akan menaburkan dengannya panji kebaikan ke atas umat serta menjadi hidayah dan taufiq serta memberi petunjuk kepada sekalian manusia.[2]
Kelahiran Al-Mahdi
Para Ulama telah berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam Mahdi kepada beberapa pendapat. Di dalam kitab al-Tazkirah, al-Imam al-Qurthubi menyebut bahawa kelahiran Imam al-Mahdi adalah di negara Maghrib. Sebahagian pula berkata bahawa al-Mahdi dilahirkan di Andalus. Adapun pendapat yang paling tepat dan sahih ialah pendapat yang diriwayatkan dari Abu Nu’aim dari Hammad dari Ali bin Abi Thalib Radhiallahu anh bahawa al-Mahdi dilahirkan di Madinah.[3]
Tanda-Tanda Al-Mahdi
Berikut merupakan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada diri al-Imam al-Mahdi[4]:
- Di bahagian bahunya ada tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
- Beliau akan berkumpul bersama Nabi Isa A.S dan Nabi Isa akan bersolat di belakangnya.
- Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
- Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan menjadi hijau dan berdaun.
Sifat-Sifat Keperibadian Imam Al-Mahdi
Di antara sifat-sifat keperibadian al-Imam al-Mahdi A.S adalah seperti berikut[5]:
- Beliau merupan seorang anak Adam.
- Dahinya luas dan hidungnya mancung.
- Kedua-dua matanya bercelak.
- Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
- Di bahagian bahunya ada tanda seperti yang terdapat pada Rasulullah S.A.W.
- Warna kulitnya adalah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
- Umurnya 40 tahun dan dalam sebahagian riwayat 30 hingga 40 tahun.
- Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi S.A.W.
Waktu Keluarnya Imam al-Mahdi
Di dalam kitab al-Fitan wal- Malahim, al-Imam al-Hafiz Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Aku menyangka bahawa keluarnya al-Mahdi berlaku ketika turunnya Nabi Isa A.S.
Ini berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abd Allah Radhiallahu anhu beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda:
فَيَنْزِلُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ صلى الله عليه وسلم فَيَقُولُ أَمِيرُهُمْ تَعَالَ صَلِّ لَنَا . فَيَقُولُ لاَ . إِنَّ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ أُمَرَاءُ . تَكْرِمَةَ اللَّهِ هَذِهِ الأُمَّةَ
Maksudnya: Isa bin Maryam S.A.W turun lalu berkata pemimpin mereka (Al-Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Isa berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini.
Riwayat Muslim (247)
Beberapa Pendapat Tentang Imam Mahdi
Di dalam membicarakan berkenaan kemunculan Imam al-Mahdi, para ilmuan terbahagi kepada beberapa pendapat:
Pendapat pertama: Ahlus Sunnah wal Jamaah tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) sesame mereka dalam isu al-Mahdi. Akidah mereka sama dan bertepatan dengan hadis-hadis sahih yang telah kita nyatakan. Di sisi Ahli Sunnah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.
Berkata al-Allamah Ibn Khaldun: Ketahuilah bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya, bahawa tidak boleh tidak di akhir zaman kelak akan kemunculan seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan, dan diikuti oleh kaum muslimin, dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan-kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai al Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (al Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya.[6]
Pendapat kedua: Terdapat juga golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Ahli Sunnah akan tetapi mereka tidak mempunyai tangan yang panjang (keluasan ilmu) dalam mentahqiqkan nas-nas serta mengetahui selok beloknya dengan baik. Justeru, mereka menolak kewujudan al-Mahdi dan menafikan kemunculannya pada akhir zaman.
Beberapa Contoh Individu Yang Pernah Mendakwa Mereka Adalah Al-Mahdi
Dalam sejarah Islam, telah terlalu banyak golongan pembohong yang mendakwa mereka adalah Al-Mahdi al-Munthazar (yang dinantikan). Justeru, tidak pelik jika terdapat mana-mana individu dari seberang atau dari negara kita sendiri yang mengeluarkan dakwaan seperti ini. Di antara individu yang membuat dakwaan batil tersebut adalah:
1- Ubaidullah bin Maimun al-Qaddah. Lahir pada tahun 259 H dan meninggal pada tahun 322 H. Datuknya merupakan seorang Yahudi yang dinisbahkan kepada keluarga Majusi. Dinisbahkan secara palsu dan jahat bahawa mereka dari keturunan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah pembesar Rafidhah al-Qaramithah al-Bathiniyah yang memusuhi agama yang berselindung di sebalik penisbahan kepada keluarga Rasulullah. Dia juga merupakan pengasas Daulah Fathimiyah.[7]
2- Muhammad bin Tumart. Lahir pada tahun 485 H dan meninggal dunia pada tahun 524 H. Seorang lelaki munafik lagi pembohong. Dia membuat dakwaan jahat lagi dusta bahawa dirinya adalah al-Mahdi al-Muntazhar. Dia juga merupakan seorang yang sangat zalim.[8]
3- Mahdi kelompok Kaisan. Mereka menyangka bahawa al-Mahdi adalah Muhammad bin al-Hanafiah. Dia dikatakan sedang hidup dan bermukim di bukit Radhwa. Dia juga dikatakan berada di tengah-tengah dua ekor singa yang menjaganya.[9]
Malangnya, ada juga umat Islam di nusantara ini yang mengaku sebagai Imam Mahdi.
Fatwa Institusi Agama Di Malaysia Tentang Dakwaan Sebagai Imam Mahdi
1- Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan. Antaranya ialah : Mendakwa sebagai Imam Mahdi.
2- Di Malaysia, setiap individu yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi telah difatwakan sebagai ajaran sesat. Ini boleh dilihat dalam kes pengharaman ajaran sesat Qadiani[10], Al-Arqam atau Rufaqa[11], dan juga kelompok Syiah yang mengatakan Muhammad bin Hasan al-Askari sebagai Imam Mahdi[12].
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Alhamdulillah, selesai sudah satu pengamatan berkenaan dengan Imam Mahdi berasaskan kepada nas serta kefahaman daripadanya. Jelas menunjukkan kepada kita dakwaan yang dikemukakan oleh saudara Muhammad Zubir Abdullah sebagai Imam Mahdi adalah tertolak dan tidak benar sama sekali. Ini kerana, segala muwasafat berasaskan kepada nas-nas nabawi yang telah dibincangkan amat menyeleweng daripada yang terdapat pada watak, syakhsiah, nama, fizikal, serta bangsa yang dimiliki oleh saudara Muhammad Zubir.
Justeru, saya menyeru kepadanya supaya kembali kepada Islam yang sebenar tanpa membuat sebarang dakwaan. Begitu juga kepada masyarakat Islam di Malaysia agar tidak terpengaruh dengan dakwaan seperti ini. Sebaliknya, rujuklah kepada sumber yang sahih lagi benar iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.A.W serta melihat kepada tafsir-tafsir dan syarahan para ulama yang Rabbani lagi mendalam ilmu mereka.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita perbaharui tekad dan azam kita untuk mempelajari ilmu dan beriltizam dengan syariat Islam yang sebenar. Amin.
Akhukum Fillah
Perkongsian dari MUFTIWP