Pengetahuan Guru Prasekolah Mengenai Murid Berkeperluan Pendidikan Khas
Admin2024-05-16T03:31:45+00:00Pendidikan prasekolah merupakan pendidikan asas untuk semua individu termasuk murid-murid berkeperluan pendidikan khas. Oleh itu, pengetahuan guru prasekolah merupakan antara aspek penting dalam membantu murid-murid berkeperluan pendidikan khas ini untuk menerima pendidikan yang berkualiti seawal usia 5-6 tahun lagi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan sekitar satu billion individu mengalami beberapa jenis masalah ketidakupayaan dan daripada jumlah itu adalah dianggarkan sebanyak 93 hingga 150 juta terdiri daripada kanak-kanak (Ruwaida & Aliza, 2020). Dapatan yang diperoleh ini menandakan terdapat ramai kanak-kanak di seluruh dunia yang dikesan mempunyai keistimewaan. Rentetan daripada situasi ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merangka bagi menyediakan peluang pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas ini semenjak peringkat prasekolah lagi.
Sehubungan dengan itu, guru prasekolah merupakan antara golongan yang bertanggungjawab dalam membantu menggalakkan lagi perkembangan murid-murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) ini pada peringkat prasekolah. Kejayaan guru membantu MBPK ini juga bergantung kepada pengetahuan guru prasekolah terhadap MBPK.
Menurut kajian Nur Haziqah Husin dan Suziyani Mohamed (2024), tahap pengetahuan guru prasekolah terhadap MBPK berada pada tahap sederhana tinggi. Hal ini bermaksud guru-guru prasekolah mempunyai pengetahuan mengenai MBPK. Hasil dapatan ini selari dengan kajian Nirmala Palaniandy dan Mohd Hanafi (2021), di mana hasil kajian menunjukkan tahap pengetahuan guru adalah pada tahap sederhana. Pengetahuan guru prasekolah terhadap MBPK amat penting kerana guru adalah merupakan individu yang melaksanakan proses pengajaran bersama murid. Sekiranya guru mempunyai pengetahuan yang mencukupi, guru dapat melaksanakan proses pengajaran yang sesuai mengikut keperluan MBPK ini.
Selain, hasil dapatan kajian Alahmadi dan Keshky (2019) turut mendapat hasil yang sama di mana majoriti guru sekolah rendah mempunyai pengetahuan yang sederhana tentang masalah.
Hasil dapatan ini membuktikan lagi guru ternyata mempunyai pengetahuan yang baik mengenai MBPK. Pengetahuan guru ini amat penting kerana, kebiasaannya, guru merupakan individu utama dalam mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan pendidikan yang khas (Smith & Smith 2014). Dengan pengetahuan guru dalam mengenal pasti kanak-kanak ini dapat
membantu mereka mendapat bantuan awal bagi membolehkan mereka belajar dalam persekitaran pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Oleh itu, pengetahuan guru penting dalam proses mengenal pasti masalah pembelajaran sebenar yang dihadapi oleh kanak-kanak (Shari & Vranda, 2015).
Secara keseluruhannya, pengetahuan guru prasekolah terhadap MBPK ini merupakan antara aspek yang penting dalam memastikan kejayaan untuk pendidikan untuk semua seperti yang
dihasratkan oleh KPM. Oleh itu, guru prasekolah haruslah sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka terhadap MBPK. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga turut memainkan peranan dalam mengadakan bengkel dan kursus untuk
menggalakkan lagi peningkatan tahap pengetahuan guru prasekolah. Selain itu, hasil kajian ini
juga diharap dapat membantu memberikan pendedahan kepada guru prasekolah dalam menilai sejauh mana tahap pengetahuan mereka terhadap MBPK