Hukum Bapa Memandikan Anak Kecil Perempuan
Kanak-kanak yang belum mencecah usia mumayyiz (0-7 tahun) tidak sabit hukum berkaitan auratnya. Justeru itu, seorang bapa masih boleh menguruskan anak kecil perempuan dengan batasan tidak boleh melihat aurat anaknya dibahagian faraj dan haram melihat aurat anak kecil wanita yang disertai syahwat. Manakala seorang ibu pula boleh melihat dan memegang alat kelamin anak lelaki dan anak wanita sewaktu masih dalam tempoh menyusu dan asuhan atas sebab keperluan yang mendesak.
Huraian Jawapan:
Aurat Kanak-kanak
Kanak-kanak kecil yang belum mencapai usia baligh tidak dipertanggungjawabkan tentang hukum aurat dan tiada taklif dalam melaksanakan hukum hakam. Mereka tidak diwajib untuk melaksanakan tanggungjawab taklif dan tidak berdosa jika melakukan pelanggaran syariat kerana keadaan mereka belum mampu membezakan antara aurat dan tidak aurat. Firman Allah SWT:
أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ
Maksudnya: “atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan”
Surah Nur (31)
Kanak-kanak tidak mengetahui berkaitan aurat dan selain daripada aurat, apabila mereka mengetahui tentang perkara aurat, maka mereka dituntut untuk menutup aurat.
Fuqaha mazhab Syafi’i berpandangan orang dewasa boleh melihat aurat kanak-kanak wanita berdasarkan pandangan yang muktamad seperti yang disebut dalam kitab Tuhfaj Muhtaj:
وَالْأَصَحُّ حِلُّ النَّظَرِ (إلَى صَغِيرَةٍ) لَا تُشْتَهَى كَمَا عَلَيْهِ النَّاسُ فِي الْأَعْصَارِ وَالْأَمْصَارِ
“Pendapat paling sahih, boleh melihat aurat anak kecil wanita yang tidak menimbulkan syahwat menurut amalan masyarakat pada setiap zaman dan pelusuk tempat. ”
Melihat aurat kanak-kanak kecil wanita dibenarkan kecuali faraj dan dilarang menyentuhnya melainkan pada situasi yang mendesak ketika mengasuh seperti membersihkan kemaluan yang bernajis. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori di dalam karya Fath al-Wahab Bi Syarh Minhaj al-Thulab:
” وَحَلَّ بِلَا شَهْوَةٍ نَظَرٌ لِصَغِيرَةٍ ” لَا تُشْتَهَى ” خَلَا فَرْجٍ ” لِأَنَّهَا لَيْسَتْ فِي مَظِنَّةِ شَهْوَةٍ أَمَّا الْفَرْجُ فَيُحَرَّمُ نَظَرُهُ وَقَطَعَ الْقَاضِي بِحِلِّهِ عَمَلًا بِالْعُرْفِ وَعَلَى الْأَوَّلِ اسْتَثْنَى ابْنُ الْقَطَّانِ الْأُمَّ زَمَنَ الرَّضَاعِ وَالتَّرْبِيَةِ لِلضَّرُورَةِ أَمَّا فَرْجُ الصَّغِيرِ فَيَحِلُّ النَّظَرُ إلَيْهِ مَا لَمْ يُمَيِّزْ كَمَا صَحَّحَهُ الْمُتَوَلِّي وَجَزَمَ بِهِ غَيْرُهُ وَنَقَلَهُ السُّبْكِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ
“Halal melihat kanak-kanak wanita kecil yang tidak menimbulkan syahwat kerana bukan sangkaan menimbulkan gelora nafsu. Manakala hukum melihat faraj kanak-kanak adalah haram. Al-Qadhi memutuskan bahawa keharusannya berdasarkan amalan uruf masyarakat setempat. Sementara Ibn al-Qattan mengecualikan ibu melihat faraj sewaktu tempoh menyusu dan mendidik disebabkan keperluan mendesak. Adapun kemaluan anak lelaki boleh dilihat selagi belum mencapai usia mumayyiz, pendapat ini telah ditegaskan oleh al-Mutawalli dan lainnya yang turut dinukilkn oleh al-Subki dalam kalangan fuqaha mazhab Syafie.”
Oleh itu, si ibu boleh memegang bahagian alat kelamin anak kecil perempuan mahupun lelaki ketika mengasuh seperti yang disebut dalam kitab Fath al-Mu’in:
ويجوز لنحو الأم نظر فرجيهما ومسه زمن الرضاع والتربية للضرورة
“ Individu seperti seorang ibu harus melihat dan memegang alat kelamin anak lelaki dan anak wanita sewaktu masih dalam tempoh menyusu dan asuhan kerana darurat”
Sementara itu, fuqaha bersepakat bahawa melihat aurat kanak-kanak wanita yang disertai syahwat adalah haram hukumnya tanpa mengira usia anak kecil tersebut dan bahagian tubuh mana pun yang dilihat. Fuqaha turut bersepakat lelaki dewasa boleh melihat seluruh badan kanak-kanak wanita tanpa syahwat pada usia yang belum mencapai tahap boleh menimbulkan gelora syahwat bila melihatnya kecuali faraj.
Penutup
Kanak-kanak yang belum mencecah usia mumayyiz (0-7) tahun tidak sabit hukum aurat terhadapnya. Anggota tubuhnya boleh dilihat oleh orang dewasa kecuali pada faraj. Namun, haram bagi orang dewasa melihat aurat anak kecil pada faraj dan juga haram melihat anggota badan aurat kanak-kanak yang disertai syahwat. Oleh yang demikian, tiada masalah sekiranya seorang bapa ingin mengurus anak kecilnya termasuklah memandikan anak perempuan, namun ia mestilah pada kadar yang telah dibatasi menurut ketetapan fuqaha mazhab Syafi’i.
WallahuA’lam
Baca lebih mendalam di MuftiWP