Adab-Adab Ketika Bersin
Islam merupakan agama yang sangat menitik berat kehidupan umatnya dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil perkara.
Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana dengan bersin itu dapat mengeluarkan penyakit dari tubuh badannya. Ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT menyukai bersin dan membenci menguap.
Riwayat al-Bukhari (6226)
Imam Ibnu Hajar menaqalkan pandangan Khattabi dengan menyebut bahawa maksud Allah SWT menyukai orang yang bersin kerana bersin dapat meringankan badan dan membuka liang-liang roma. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 10/607)
Selain itu, galakan Baginda Nabi SAW kepada seseorang itu apabila bersin mengucapkan kalimah Tasymit dan Tahmid sebagai tanda syukur kepada Allah SWT. Begitu juga sebaliknya, kepada sahabatnya yang mendengari ucapan itu disarankan agar bertasymit dan mendoakan kebaikan kepada sahabatnya yang bersin.
Ini sepertimana saranan hadis daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ. وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya yarhamkallah. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamkallah maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslih baalakum.
Riwayat al-Bukhari (6224)
Ini jelas bahawa saranan Baginda Nabi SAW kepada umatnya berkenaan dengan adab ketika bersin supaya menyebut kalimah Tahmid dan kepada yang mendengarnya mengucapkan kalimah Tasymit iaitu mendoakan kepada sahabat yang bersin itu dengan doa kebaikan ke atasnya.
Begitu juga, saranan Baginda Nabi SAW kepada umatnya supaya menutup muka dengan tangan atau kain serta mengalihkan muka ke arah yang tidak mempunyai orang ramai atau makanan. Hal ini bertujuan mengelak jangkitan kuman kepada orang lain. Begitu juga, saranan merendahkan suara ketika bersin supaya tidak mengganggu sahabat yang berdekatan dengannya.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا عَطَسَ غَطَّى وَجْهَهُ بِيَدِهِ أَوْ بِثَوْبِهِ وَغَضَّ بِهَا صَوْتَهُ
Maksudnya: Bahawasanya apabila Nabi SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya
Riwayat al-Tirmizi (2745)
Justeru, secara ringkasnya bagi seseorang yang bersin disarankan agar melakukan perkara seperti berikut:
Seseorang yang bersin hendaklah mengucapkan kalimah Tahmid iaitu Alhamdulillah atau Alhamdulillahi ala kulli hal
Seseorang yang mendengar orang yang bersin dan menyebut kalimah Tahmid hendaklah menjawab Yarhamukaallah
Kemudian orang yang bersin itu membalas dengan Yahdikumullah wa yuslih baalkum
Sekiranya orang yang bersin itu melebihi tiga kali, maka yang mendengarnya hendaklak mendoakan kesembuhan ke atasnya
Seseorang yang bersin itu sebaiknya menutup mukanya dan tidak menghalakan mukanya ke arah orang ramai dan juga makanan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.
Untuk mengetahui lebih mendalam penjelasan mengenai ini, boleh terus semak di : muftiwp.gov.my