Persediaan Mak Ayah Perlu Buat Sebelum Hantar Anak Ke Sekolah (School Readiness)
Haniata kali ini nak kongsikan beberapa tips persediaan untuk anak supaya ready dan bersedia untuk ke sekolah. Maksudnya, anak tidak terkapai-kapai buat apa nanti di sekolah.
Pertama,
Kemahiran Motor Halus
Kemahiran ini berguna dalam aktiviti memegang pensel, mewarna, menulis dan melukis. Kemahiran menulis biasanya bermula dengan kemahiran menconteng dan kemudian berkembang menjadi lebih baik setelah masuk ke alam persekolahan. Antara perkara penting yang mak ayah perlu ajar pada anak ialah ajar mereka menulis nama sendiri.
Kemahiran Menulis dan Mewarna
Kemahiran menulis dan mewarna merupakan kemahiran otot yang berhubung kait dengan pemprosesan mental. Sebelum memperkenalakan mereka kepada nombor dan menulis, mak ayah perlukan perhatikan perkembangan minat, kecenderungan dan kesediaan anak-anak dalam kemahiran menulis dan mewarna.
Kesediaan kanak-kanak untuk menulis bermaksud apabila tahap keupayaan memegang pensel dan minat (mental) untuk mereka menulis sudah dicapai sebelum memenuhi aktiviti menulis. Jadi, mak ayah perlu menyediakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemahiran berbentuk permainan kepada mereka.
Kemahiran Menggunting
Kemahiran ini memerlukan kanak-kanak memanipulasi jari jemari sambil menggerakkan gunting untuk memotong. Kemahiran ini melatih kemahiran pengamatan, daya tumpu, integrasi visual motor dan integrasi bilateral (penggunaan kedua-dua tangan) dalam satu aktiviti.
Kemahiran Pengurusan Diri
Kemahiran dalam pengurusan diri adalah untuk memaksimumkan tahap berdikari seseorang kanak-kanak. Kemahiran ini antara paling penting dilatih untuk anak-anak supaya mereka berdikari.
Kemahiran Tingkah Laku dan Sosial
Antara perkara penting yang mak ayah boleh lakukan adalah mendedahkan anak-anak dengan pelbagai situasi sosial yang realistik dalam kehidupan seharian. Antaranya seperti bawa anak ke rumah rakan, bermain di taman permainan, membeli belah dan lain-lain mengikut kesusaian supaya mereka boleh beradaptasi dan boleh mengawal tingkah laku mereka dengan lebih rasional dalam pergaulan nanti.
Ini merupakan beberapa tips penting, post akan datang, Haniata akan kongsikan contoh-contoh aktiviti yang perlu dikuasi oleh anak sebelum mereka masuk ke sekolah (school readiness).